SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu termasuk ke dalam lubang pembentungan yang dipenuhi air, di Bandar Letat, hadapan stesen bas, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia lingkungan 40-an terbabit ditemui selepas pasukan bomba bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengepam keluar air yang anggarkan sedalam 5 kaki itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.29 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Produa Viva telah terbabas sendiri dan termasuk ke dalam lubang pembentungan dipenuhi air yang dalam proses pembinaan oleh pihak JKR, di tepi jalan terbabir.
“Anggaran kedalaman air adalah lima kaki dan tindakan pasukan bomba bersama pihak JKR mengepam keluar air untuk memudahkan operasi menyelamat.
“Terdapat seorang mangsa lelaki terlibat di dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM (Kementerian Kesihatan) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi kemudian ditamatkan pada jam 8.57 pagi. – Info X