KOTA KINABALU: Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh oleh suaminya dalam kejadian di sebuah bilik sewa, di tingkat satu sebuah blok kedai, di Jalan Pantai, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 20-an itu ditemui oleh jiran pasangan terbabit yang sebelum itu terdengar pertengkaran berlaku antara mereka.
Turut berada bersama mangsa dalam bilik sewa berkenaan ialah suami mangsa berusia lingkungan 30-an yang ditemui dalam keadaan terbaring serta terdapat kesan kelar pada lehernya, dipercayai cuba membunuh diri.
Lelaki terbabit juga kini masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa dipercayai dibunuh oleh suaminya berikutan terdapat kesan lebam pada lehernya, dipercayai dicekik, selain kesan luka pada dahinya.
“Kita percaya kes ini lebih kepada konflik rumah tangga antara mangsa dan suaminya kerana sebelum kejadian, jiran mangsa telah terdengar pertengkaran antara kedua-dua mereka.
“Kira-kira jam 5.30 pagi tadi, jiran mangsa menemui pasangan terbabit dalam keadaan terbaring dan seterusnya dia (jiran) memaklumkan perkara itu kepada pihak polis pada jam 8 pagi.
“Saksi berkenaan sedikit lewat menghubungi pihak polis kerana ketika kejadian, telefon bimbitnya tidak mempunyai kredit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Zaidi berkata, siasatan awal mendapati suami mangsa adalah pekerja restoran di sekitar kawasan berkenaan manakala isterinya seorang suri rumah.
Katanya, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Info X