Search

Lelaki tikam isteri sampai mati didakwa di mahkamah

April 18, 2023

admin

KOTA KINABALU: Lelaki warga Indonesia yang ditahan kerana disyaki menikam isterinya hingga mati, di pasar sayur Kepayan, di sini, baru-baru ini, didakwa di Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Jedu Rudu, 42, dituduh membunuh Suria Woade, 42, yang juga warga Indonesia pada 8 April, di pasar berkenaan, di Jalan Pahlawan, dekat sini, antara jam 1 hingga 2.21 pagi.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Mei.

Jessica juga mengarahkan Jedu ditahan reman sementara menunggu sebutan semula kes itu kerana pertuduhan yang dihadapinya tidak menawarkan sebarang ikat jamin.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Inspektor Albert Basiri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kejadian itu dikatakan berlaku ketika mangsa sedang membantu kakaknya menjual sayur di pasar berkenaan.

Suspek kemudian tiba-tiba datang dan menikam mangsa beberapa kali menggunakan pisau sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun suspek kemudian berjaya ditahan pada hari yang sama dan pihak polis turut berjaya merampas senjata yang digunakan untuk menikam mangsa. – Info X