PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh tembok sebuah jambatan di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Dambai – Proper, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, mangsa lelaki berusia 35 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal kemalangan berlaku apabila kereta mangsa dari arah Donggongon hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tembok jambatan.
“Akibat kejadian itu, mangsa warga tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan bertugas.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis juga meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat segera di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Sammy berkata orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut berada di lokasi kemalangan. – Info X