Search

Lebih 100 kilogram syabu dalam bungkusan serbuk pencuci

July 30, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 100 kilogram dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam bungkusan serbuk pencuci dianggarkan bernilai RM3.36 juta di Pelabuhan Sepanggar, di sini, Rabu lalu.

Rampasan kira-kira 5 petang itu dilakukan pegawai dan anggota JKDM dari Cawangan Narkotik, Unit Operasi Penguatkuasaan, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) Sabah.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan berkenaan hasil maklumat risikan sebelum membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor.

Katanya, kontena berkenaan mengandungi barangan campur dan hasil pemeriksaan rapi ke atas kontena itu, pasukan serbuan menemui sembilan kotak disyaki mengandungi dadah berbahaya.

“Pemeriksaan lanjut ke atas sembilan kotak itu telah menemui sejumlah dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 101.951 kilogram dan dianggarkan bernilai RM3,364,383,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan, Sepanggar, di sini, hari ini.

Zazuli menunjukkan dadah syabu yang disembunyikan dalam bungkusan serbuk pencuci.

Zazuli berkata, semua syabu yang ditemui dibungkus menggunakan pembungkus serbuk pencuci jenama anchor.

“Selain daripada penemuan dadah, kotak-kotak berkenaan juga mengandungi serbuk pencuci jenama anchor. Tindakan sedemikian dipercayai bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Tiada tangkapan dibuat, namun usaha untuk mengesan pengirim atau penerima sedang dilakukan berdasarkan alamat yang tertera iaitu di sebuah kondominium di Likas,” katanya.

Mengulas lanjut, Zazuli berkata, modus operandi bagi kes ini adalag mengedarkan dadah menggunakan kontena dan memasukkan dalam bungkusan serbuk pencuci dan dagangan diikrar sebagai serbuk

“Seterusnya barangan akan dicampur dengan barang lain dalam kontena ‘Less than Container-Load’ (LCL).

“Untuk rekod rampasan ini adalah yang terbesar di Sabah, tahun ini,” katanya.

Ditanya mengenai pasaran dadah berkenaan, Zazuli berkata, semua dadah itu dari Pelabuhan Klang dan alamat terakhir di sebuah kondominium di Likas dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, setakat 25 Julai 2023, JKDM Zon Sabah merampas sebanyak 122.91 kilogram dadah bernilai RM7.66 juta dan jumlah ini tidak termasuk kes rampasab dadah diumum pada hari ini.

“Daripada jumlah yang disebutkan itu tadi, ia membabitkan dadah berbahaya jenis Methamphetamine 103.17 kilogram dianggarkan bernilai RM3,857,920.84, ganja 10.09 kilogram dianggarkan bernilai RM54,226.90, Ketamin dan Ekstasi 9.65 kilogram dianggarkan bernilai

“Selain itu, JKDM Sabah juga merekodkan rampasan ketum sebanyak 631.77 kilogram dianggarkan bernilai RM6,289.31.

Rampasan ketum itu membabitkan serbuk ketum 581.48 kilogram dianggarkan bernilai RM5,786.46 dan daun ketum 50.29 kilogram dianggarkan bernilai RM502.85,” katanya. – Info X