SANDAKAN: Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam longkang dalam kejadian di Batu 7, di sini, hari ini.
Mangsa, Chock Vui Heong, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.56 tengah hari sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Duchess of Kent untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.58 tengah hari selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit turut dibantu APM Sandakan. – Info X