Search

Tan Sri Andrew Sheng dilantik Penasihat Khas Ketua Menteri

March 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tokoh perbankan Asia dan pengawal selia kewangan yang dihormati, Tan Sri Andrew Sheng dilantik sebagai Penasihat Khas Ketua Menteri.

Pelantikan itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selepas pertemuan dengan tokoh berkenaan Sri Gaya, di sini, pada Jumaat.

Ketua Menteri berkata, pengalaman luas serta kelayakan kukuh Sheng akan menjadi aset kepada Sabah.

“Kita menantikan sumbangannya, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelaburan,” katanya.

Dibesarkan di Sabah pada awal 1960-an, Sheng yang berpangkalan di Hong Kong pernah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi perbankan dan pelaburan di Asia.

Beliau juga adalah penceramah ekonomi global yang kerap diundang, selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, Pengurus Kanan Bank Dunia dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan, Hong Kong.

Pada masa ini beliau adalah Profesor Khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (Kampus Shenzhen) dan ahli majlis penasihat antarabangsa bagi Pentadbiran Pengawalseliaan Kewangan Nasional China (NFRA), Suruhanjaya Sekuriti China (CSRC) dan Perbadanan Pelaburan China (CIC).

Pada April 2013, Majalah TIME menamakan Sheng sebagai salah seorang daripada 100 orang paling berpengaruh di dunia. – Info X