Search

Lelaki maut selepas kereta terjunam ke dalam sungai

July 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai dari jambatan setinggi 10 meter di Jalan Kionsom, berhampiran Bulatan Kitobu, Inanam, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.09 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun dipercayai memandu kereta jenis Perodua Axia sebelum hilang kawalan lalu melanggar bahagian simen bulatan berhampiran jambatan berkenaan.

Kereta terbabit kemudian terhumban ke dalam sungai dan mangsa ditemui terbaring di luar kenderaan di dasar sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HQE untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit melanggar simen bulatan sebelum terbabas ke dalam sungai.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa naik ke kenderaan polis untuk dihantar ke hospital.

“Setakat ini tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau saksi bebas ditemui di lokasi kejadian.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut dikerah ke lokasi bagi membantu mengangkat mayat mangsa dari dasar sungai. – Info X