Search

6 ditahan bergaduh dalam perlawanan bola sepak di Kota Belud

July 21, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Enam lelaki ditahan polis susulan insiden pergaduhan ketika perlawanan bola sepak yang tular di media sosial, di Padang Dudan, Kampung Piasau, di sini, Ahad lalu.

Semua suspek berusia antara 24 hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.30 petang, semalam.

“Hasil siasatan mendapati pergaduhan berlaku ketika berlangsungnya satu perlawanan bola sepak di padang berkenaan, membabitkan penyokong kedua-dua pasukan.

“Susulan itu, enam lelaki dewasa sudah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia boleh mengganggu siasatan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Christina Edris di talian 014-3574148,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan insiden pergaduhan antara beberapa individu dipercayai pemain dan penyokong bola sepak, yang dikatakan berlaku di padang Dudan, Kampung Piasau.

Video berdurasi pendek itu yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp menunjukkan lebih 10 individu terbabit dalam kekecohan berkenaan. – Info X