Search

Suspek kes buang bayi ditahan di pekarangan IPD Lahad Datu

July 21, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang wanita tempatan ditahan selepas disyaki membuang bayi lelaki yang baru dilahirkan sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Kampung Burung, Jalan Bakawali, di sini, Jumaat lalu.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, semalam hasil siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, bertindak atas maklumat dan siasatan polis telah menahan seorang wanita disyaki terbabit dalam kes buang bayi pada Jumaat lalu.

“Suspek mengaku melahirkan bayi terbabit di rumahnya dan meletakkannya di luar rumah Kampung Burung, Jalan Bakawali, di sini.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

“Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Pada Jumaat lalu, bayi lelaki cukup sifat itu ditemui dalam keadaan berbungkus kain di hadapan sebuah rumah tidak bernombor oleh orang awam jam 3.06 pagi.

Bayi berkenaan masih hidup ketika ditemui dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia jam 7.02 malam hari sama akibat dilahirkan pramatang dan mempunyai berat badan terlalu rendah. – Info X