KOTA KINABALU: Pembangkang didakwa sengaja menggambarkan keadaan Sabah kucar-kacir semata-mata untuk mencipta persepsi buruk terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Aktivis politik Pro GRS, Aksyah Nasrah, mendakwa pelbagai ulasan ekonomi dan isu pengangguran yang dibangkitkan oleh pemimpin serta aktivis pembangkang hanyalah bersifat propaganda dan berat sebelah, tanpa mengambil kira fakta sebenar pencapaian negeri ini.
“Jika benar ekonomi Sabah berada dalam keadaan teruk seperti yang didakwa, mengapa rizab kewangan negeri kini mencecah RM8.08 bilion, jumlah tertinggi dalam sejarah Sabah?
“Malah, hasil pendapatan negeri turut meningkat kepada lebih RM7 bilion, pencapaian yang belum pernah direkodkan mana-mana kerajaan Sabah sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Aksyah berkata, kadar pengangguran negeri juga menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya dikurangkan kepada 6.7 peratus setakat 30 Mei 2025, berbanding 8.2 peratus pada 2020 ketika GRS mula mengambil alih pentadbiran negeri.
“Ini jelas menunjukkan GRS bukan saja mampu mentadbir dengan baik, malah turut menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Pelaburan baharu juga terus mengalir masuk ke Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Aksyah turut mempertikaikan kredibiliti kritikan pembangkang, khususnya Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan, yang katanya pernah diberi peluang mentadbir negeri namun gagal menyelesaikan pelbagai isu asas rakyat.
“BN pernah memerintah hampir 30 tahun. Jika benar mereka hebat seperti yang digembar-gemburkan, tidak mungkin Warisan, sebuah kerajaan yang naik melalui ‘pintu belakang’ mampu mengambil alih Sabah dengan mudah.
“Begitu juga Warisan, meskipun mewarisi Sabah dalam keadaan progresif, mereka tetap gagal menyerlah ketika memerintah. Sebaliknya GRS mengambil alih dalam suasana paling getir, iaitu ketika pandemik COVID-19, tetapi tetap berjaya memulihkan ekonomi dalam tempoh setahun,” katanya.
Beliau berkata, pembentukan GRS sebagai gabungan pelbagai parti tempatan adalah langkah bijak demi memastikan Sabah tidak lagi menjadi negeri yang terus ditunggang kepentingan luar.
“Cukuplah Sabah dijarah. Sudah tiba masanya Sabah dipimpin oleh barisan pemimpin yang benar-benar meletakkan kepentingan negeri dan rakyat di hadapan,” katanya.
Berikutan itu, beliau meminta rakyat negeri ini agar tidak terpengaruh dengan dakyah dan persepsi negatif yang dimainkan pembangkang, sebaliknya terus menyokong dasar pro rakyat di bawah jerajaan GRS menerusi pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Apakah dengan pencapaian ini, kita masih mahu menukar kerajaan sekali lagi? Jangan biarkan pisang berbuah dua kali,” katanya. – Info X