KOTA KINABALU: Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan kesediaannya untuk menjadi Ketua Menteri Sabah yang baharu jika Barisan Nasional (BN) mendapat paling banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
“Saya sudah bersedia, insyaAllah,” katanya mengulas mengenai kedudukan jawatan nombor satu kerajaan negeri itu yang ditentukan berdasarkan parti mana mendapat paling banyak kerusi selepas pilihan raya.
Katanya, sebagai Ketua UMNO Sabah dan Pengerusi BN negeri, namanya sudah pasti diutamakan sebagai calon bakal Ketua Menteri berdasarkan amalan yang mengutamakan pemilihan ketua parti bagi jawatan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu bagaimanapun menegaskan soal dilantik atau tidak sebagai Ketua Menteri adalah ketentuan Tuhan, selain tidak menjadikan jawatan itu sebagai tumpuan.
“Fokus kita, saya kata jangan tumpu ke situ, kita mesti menang banyak, mesti dominan di antara parti-parti. Kebiasaannya parti yang dominan ini, ketua dia akan dipertimbangkan terlebih dahulu.
“Jadi kalaulah sekiranya UMNO BN menjadi parti dominan di antara parti-parti ini, insyaAllah saya tengok tidak ada halangan,” katanya, di sini.
Katanya, walaupun beliau mempunyai kes mahkamah yang belum selesai, ia bukan satu masalah kepadanya kerana perkara itu akan dihadapinya sendiri.
Beliau berkata, kes mahkamahnya pernah digunakan sebagai isu pada pilihan raya sebelum ini tetapi beliau tetap menang di kerusi DUN Lamag pada PRN16, September 2020 dan sekali lagi mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan pada PRU15, November 2022.
Jelasnya, terpulang kepada mereka menggunakan isu itu, namun beliau menegaskan UMNO-BN akan terus membuat lembaran baharu dengan meyakinkan rakyat bahawa BN benar-benar bersedia untuk mara dan mengubah untung nasib negeri dan rakyat Sabah.
PRN17 yang mesti diadakan sebelum akhir tahun ini bakal menyaksikan beberapa pemimpin politik Sabah bersaing ‘merebut’ jawatan Ketua Menteri.
Selain Bung Moktar yang bakal mempertahankan kerusi DUN Lamag, Ketua Menteri sekarang, Datuk Seri Hajiji Noor sudah pasti akan mempertahankan jawatan jika Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mendapat paling banyak kerusi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Tidak ketinggalan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang pernah menjadi Ketua Menteri selama dua tahun lebih dari 2018 hingga 2020 juga pasti menyasarkan untuk kembali menduduki jawatan itu dengan memastikan Warisan sekurang-kurangnya mendapat majoriti mudah pada PRN17 nanti. – Info X