TUARAN: Seorang lelaki warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung selepas rumahnya di Kampung Tagas, Jalan Pertanian, musnah terbakar, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa Agus Ebah, 72, ditemui rentung oleh anggota bomba sebaik api berjaya dipadam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.35 malam.
Katanya, seramai 14 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dan Ibu Pejabat JBPM Sabah digerakkan ke tempat kejadian.
“Menurut laporan, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya. Tindakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan dengan sumber air dari jentera.
“Seterusnya operasi terkawal pada 11.31 malam. Terdapat seorang lelaki ditemui rentung pada 11.57 malam di lokasi kejadian,” Katanya dalam kenyataan media, pagi ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada 1.34 pagi.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X