Search

USIA kekal pendirian bantah pembinaan Patung Mazu di Kudat

April 3, 2023

admin

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) kekal dengan pendirian membantah pembinaan Patung Mazu berhampiran Masjid Daerah Kudat kerana berpendapat ia kerana boleh mengganggu khusuknya ibadah umat Islam.

Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad berkata, ketetapan yang dinyatakan itu adalah konsisten dengan pendirian kepimpinan USIA sebelum ini.

Katanya, USIA sebelum ini membantah sekeras-kerasnya pembinaan Patung Mazu di tapak asal yang dicadangkan pada 2005 iaitu berhampiran dengan Masjid Daerah Kudat.

“Bukanlah niat USIA untuk menghalang usaha kerajaan negeri menarik kemasukan pelancong ke Sabah termasuk ke Kudat, tetapi yang mesti diberi keutamaan adalah sensitiviti dan kemaslahatan umat Islam itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas susulan terdapat usaha untuk meneruskan pembinaan patung berkenaan.

Sapawi berkata, difahamkan kerajaan negeri pada ketika isu Patung Mazu heboh dipertikaikan, satu tapak sesuai telah dicadang dan disediakan untuk patung itu.

“Tetapi tiada usaha untuk menyahut tawaran berkenaan. Kini, ada pihak yang cuba mengetengahkan semula pembinaan Patung Mazu dengan pelbagai alasan.

“Justeru, sekali lagi USIA menyatakan pendirian tegas membantah sekeras-kerasnya pembinaan Patung Mazu di tapak asal yang dicadangkan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berharap, projek pembinaan Patung Mazu (Dewi Laut), di Kudat, yang sebelum ini terbengkalai sejak lebih 20 tahun lalu akan dapat dibangunkan semula.

Katanya, pembinaan patung Mazu yang tertinggi di dunia itu selepas siap nanti mampu menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan di daerah berkenaan selepas ‘The Tip Of Borneo’ Simpang Mengayau.

Beliau turut berkata, apa saja konflik pada masa lepas boleh diselesaikan secara baik untuk manfaat rakyat Kudat dan ekonominya.

Susulan kenyataan Liew itu juga, bekas ketua menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat berkata, jutaan orang dari seluruh dunia bakal mengunjungi Kudat untuk melihat sendiri patung Mazu setinggi 108 kaki, sekiranya rancangan pembinaannya diteruskan.

Katanya, pembinaan patung Mazu berkenaan hanyalah bertujuan untuk meningkatkan lagi pelancongan di daerah itu selain bagi melindungi pelaut dan bukannya mengenai agama semata-mata. – Info X