KOTA MARUDU: Lelaki yang parah selepas kereta dipandu terbabas jatuh ke gaung sedalam enam meter di Jalan Kampung Paliusumbu, di sini, disahkan meninggal dunia, petang tadi.
Mangsa berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, jam 3.50 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai kemalangan jalan raya di jalan berkenaan membabitkan kenderaan Mitsubishi Pajero.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira 2 petang, ketika mangsa yang memandu kenderaan dalam perjalanan dari arah Kampung Paliusumbu menghala ke Kampung Marak Parak.
“Sebaik tiba di lokasi di satu selekoh jalan tidak berturap dan menuruni bukit, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas jatuh ke dalam gaung sebelah kanan jalan sedalam kira-kira enam meter.
“Mangsa kemudian dibawa naik oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital pada jam 3.50 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, tiada kenderaan atau individu lain terbabit dalam kemalangan berkenaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengesan saksi bebas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X