Search

Tiada lobi-lobi, GRS hanya pertaruh calon boleh menang – Hajiji

March 16, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menimbangkan calon boleh menang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagaimanapun mengingatkan pemimpin dan ahli parti komponen GRS bahawa sekarang bukan masa untuk melobi kerusi yang ingin ditandingi.

Beliau yang juga Pengerusi GRS, berkata apa yang penting semua parti komponen GRS akan bertanding menggunakan satu simbol yang sama.

“Kita semua akan menggunakan satu simbol iaiti simbol GRS, jadi ia bukan soal kerusi tetapi apa yang kita mahu ialah calon boleh menang.

“Saya berharap semua pemimpin kita menggunakan kebijaksanaan dalam meneruskan perjuangan untuk rakyat dan pembangunan negeri,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman, di sini, malam ini.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut mengingatkan pemimpin parti itu di Sulaman untuk meneruskan perjuangan dan kerjasama di peringkat akat umbi.

Jelasnya, ia sangat penting bagi berdepan dengan cabaran yang dihadapi pada masa ini, meskipun tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang hanya tamat pada Oktober tahun depan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata pemimpin akar umbi perlu turun padang untuk bertemu rakyat dan mengambil tahu masalah mereka untuk dibawa ke pengetahuan kepemimpinan atasan.

Sementara itu, katanya ketika ini lebih 200 cawangan Gagasan Rakyat diwujudkan di Sulaman yang menggambarkan parti itu semakin mendapat sokongan rakyat.

“Semua ini hanya dapat dicapai jika kita bersatu, elak isu picisan dan bersifat peribadi, sebaliknya lihat perkara yang lebih besar iaitu untuk kita menstabilkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, landskap politik semasa menjadi lebih mencabar dan ada masanya tidak masuk akal, apabila pembangkang menyalahkannya di media sosial berkaitan kemarau yang melanda negeri ini.

“Sehubungan itu, semua pemimpin dan ahli parti perlu kekal teguh dengan prinsip dan kebijaksanaan.

Ahli parti perlu memainkan peranan dengan mempertahankan parti daripada fitnah pembangkang,” katanya. – Info X