TAWAU: Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi wang tabung surau ditahan polis selepas didapati membawa pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk melakukan jenayah itu dalam satu operasi rondaan, awal pagi tadi.
Suspek warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Tawau ketika Ops Ronda Cegah Jenayah di sekitar Taman Semarak, kira-kira jam 4.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas beg galas yang dipakainya.
“Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah rumah termasuk pemotong besi, pemutar skru, besi tajam yang diubah suai, batang besi serta lampu suluh.
“Siasatan awal turut mendapati suspek mengaku terlibat dalam satu kes curi duit tabung di sebuah surau yang dilaporkan Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kes berkaitan dadah serta jenayah harta benda di daerah Semporna dan Tawau.
“Susulan penahanan itu, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Jasmin menegaskan polis akan terus mempergiat rondaan dan operasi pencegahan secara berterusan bagi membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan penduduk di daerah ini sentiasa terjamin. – Info X