Search

Pekerja ladang hilang, dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat

February 7, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Seorang pekerja ladang dilaporkan hilang dan dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan di sungai berhampiran Ladang Kompas Tenggara Sukau, di sini, malam tadi.

Mangsa, Stefanus Martin, 48, disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah sehingga kira-kira jam 8 malam selepas memaklumkan kepada rakan sekerja bahawa dia keluar memukat ikan di sungai berkenaan.

Difahamkan, beberapa pekerja ladang menjalankan usaha pencarian awal di sekitar tebing sungai sejurus menyedari kehilangan mangsa, namun hanya menemukan pakaian serta pukat ikan yang dipercayai milik mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada polis pada jam 1.07 tengah hari tadi.

“Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR dijalankan dengan kerjasama polis, memfokuskan kawasan sungai serta persekitaran berhampiran bagi mengesan mangsa.

“Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Info X