SANDAKAN: Bau busuk dari sebuah rumah di Sri Taman Batu 3.5, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang tinggal bersendirian, di sini, pagi tadi.
Kejadian itu disedari oleh jiran mangsa lalu memaklumkan kepada kakak dan adik mangsa yang kemudiannya membuat laporan polis, kira-kira jam 11.30 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Reamasamy A/L Kuppan berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis tiba di lokasi kejadian dan mendapati terdapat bau busuk dari dalam rumah berkenaan.
“Pasukan bomba dipanggil untuk membantu membuka pintu m besi rumah yang terkunci.
“Sebaik pintu rumah dibuka, pasukan polis menemui mayat lelaki di sebuah bilik rumah berkenaan dalam keadaan terbaring dan sudah mula mereput,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa lelaki warga tempatan berusia 47 tahun tinggal seorang diri di rumah berkenaan sejak 2019.
“Siasatan awal polis setakat ini mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah dan khianat.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk bedah siasat,” katanya.
Tambah beliau lagi, kes diklasifikasikan dan disiasat sebagai laporan mati mengejut. – Info X