TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas mengugut untuk menikam sebelum membakar rumah ahli keluarga sendiri, awal pagi tadi.
Lelaki berusia 39 tahun yang ditahan kira-kira jam 1 pagi itu dikatakan mengamuk dan mengacukan pisau terhadap ahli keluarga termasuk ibu kandungnya kerana tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang diberikan kepadanya.
Penahanan lelaki terbabit, selepas laporan polis dibuat ahli keluarganya yang bimbang dengan keselamatan diri.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati, suspek yang tidak bekerja mempunyai enam rekod jenayah lampau.
Katanya, suspek yang pernah diletakkan sebagai orang dikehendaki polis didapati terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah dan penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Suspek merupakan abang kepada mangsa dikatakan mengamuk terhadap ibunya dan ahli keluarga lain kerana tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang diberikan kepadanya.
“Suspek turut mengeluarkan ugutan akan menikam ahli keluarga di rumah keluarga sambil mengacukan pisau.
“Suspek turut didakwa menghubungi ibunya sekali lagi untuk membakar rumah adiknya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku sebarang ugutan atau perlakuan agresif dalam ahli keluarga, khususnya yang melibatkan keselamatan nyawa.
“Jangan sesekali mengambil mudah terhadap ugutan, walaupun dilakukan oleh ahli keluarga sendiri kerana nyawa dan keselamatan semua pihak perlu diutamakan.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan orang lain,” tegasnya. – Info X