KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang pada 30 Mei ini.
Pada 11 Mei lalu, Perdana Menteri berada di Tawau bagi menyempurnakan Program Madani Rakyat, selain turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Kehadiran Anwar pada sambutan Kaamatan itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025.
Pada Isnin, Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri berkaitan sambutan perayaan berkenaan.
Katanya, Anwar dijadual merasmikan sambutan Kaamatan pada 30 Mei ini, manakala majlis penutupannya akan disempurnakan Tun Musa pada 31 Mei.
Kaamatan disambut meriah dengan pelbagai acara kebudayaan pelbagai etnik Kadazandusun dan Murut yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan dan Kampung Budaya KDCA di Penampang.
Sambutan Kaamatan pada tahun ini bertemakan ‘Kaamatan Montok Toinsanan’ yang bermaksud Kaamatan Untuk Semua. – Info X