KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dipenjara sembilan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah mengedar dadah jenis syabu tiga tahun lalu ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, pada Jumaat.
Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Thomas Sabon Mehen, 38, yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Hukuman itu berkuasa kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 11 Oktober 2021 sebelum dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang berikutan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine atau syabu di Manggatal pada 11 Oktober 2021.
Tertuduh ditahan dalam sebuah kenderaan menerusi Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Ketika ditahan, suspek bertindak agresif sebelum pemeriksaan polis menemui dadah jenis syabu seberat 93.34 gram dalam beg miliknya.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, bagaimanapun tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 berdasarkan keputusan laporan Jabatan Kimia Malaysia.

Sebelum ini, video penangkapan tertuduh tular di media sosial selepas pihak polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki tertuduh kerana bertindak agresif.
Tertuduh juga enggan memberi kerjasama dan terus bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis beberapa kali selain cuba melanggar pegawai dan anggota polis yang bertugas.
Ketika kejadian, polis turut mengejar suspek yang melarikan diri sejauh 120 meter sebelum berjaya ditahan. – Info X