Search

Lelaki warga asing ditahan, 198 karton rokok tidak bercukai dirampas

January 8, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki menyimpan sejumlah besar rokok tidak bercukai dalam Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi Op Taring Esszone-Op Taring Alpha 1 di Pekan Semporna, di sini, Rabu.

Operasi berkenaan dijalankan sekitar jam 10 pagi oleh Risik Kompeni A, Pos Komtak Mabul, Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

PGA dalam satu perkongsian di laman rasmi Facebook memaklumkan serbuan dilakukan di sebuah premis perniagaan bernombor 16, Medan Rakyat Tongtalun, sebelum seorang lelaki warga asing ditemui berada di dalam premis berkenaan.

“Pemeriksaan awal mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah kepada pihak berkuasa.

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis membawa kepada penemuan sejumlah besar rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai yang disimpan di dalam beberapa kotak serta sebuah bekas berwarna biru,” katanya.

Katanya, suspek bersama semua barang rampasan ditahan di lokasi sebelum dibawa ke IPD Semporna untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 198 karton rokok dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM63,460.

“Kes tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Semporna untuk siasatan lanjut mengikut peruntukan Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1952,” katanya.

Menurutnya, pihak Risik dan Infantri Kompeni A, Batalion 22 PGA Kunak menegaskan komitmen berterusan dalam melaksanakan risikan serta membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di kawasan tanggungjawab.

Tambahnya, operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur sentiasa terpelihara. – Info X