SANDAKAN: Seramai tujuh individu ditahan selepas didapati positif dadah jenis ketamin dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di sekitar kawasan Bandar Ramai-ramai, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, operasi bermula kira-kira jam 11 pagi bertujuan membanteras aktiviti pengedaran serta penagihan dadah di kawasan tumpuan awam.

“Semasa penugasan, pasukan serbuan menahan dua wanita mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain tiga lelaki yang disyaki terbabit penyalahgunaan dadah.
“Serbuan seterusnya dilakukan di bilik berasingan sebelum dua lagi wanita ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan sama,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sandakan untuk menjalani ujian saringan awal air kencing polis.

“Hasil saringan mendapati semua suspek positif dadah jenis ketamin.
“Susulan itu, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditempatkan di lokap IPD Sandakan bagi tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, pelaksanaan operasi ini selari dengan tekad dalam usaha berterusan membanteras jenayah dadah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini. – Info X