LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas berjaya diselamatkan selepas terperangkap akibat banjir di Kampung Wawasan 2, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.01 petang.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama beberapa jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
“Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati seorang mangsa lelaki warga emas terperangkap di kawasan yang dinaiki air akibat banjir.
“Pasukan operasi bertindak pantas dan berhati-hati bagi memastikan keselamatan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa, Mohd Tahir Sappelani, 72, berjaya dikeluarkan dengan selamat menggunakan tali penyelamat oleh pasukan bomba.
“Selepas berjaya dikeluarkan, mangsa didapati berada dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.
“Operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.30 petang dan ditamatkan kira-kira 5.46 petang selepas memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi,” katanya.
Sementara itu, beberapa kawasan lain di sekitar Lahad Datu turut dilanda banjir susulan hujan berterusan dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada.
Dalam kejadian berasingan pada hari sama, seorang mangsa lumpuh berjaya dipindahkan ke tempat selamat selepas terperangkap akibat banjir di Kampung Indah Jaya, di sini.

Sumsoa berkata, sepasukan 10 anggota digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.45 petang.
“Mangsa dipindahkan menggunakan pengusung ke kawasan selamat dan diserahkan kepada pihak keluarga selepas disahkan berada dalam keadaan stabil,” katanya. – Info X