SANDAKAN: Seorang lelaki warga Filipina dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke laut dalam kejadian di Pelabuhan Karamunting, di sini, semalam.
Mangsa Razmel Abdul Rahim, 31, dikatakan secara tiba-tiba terjun ke laut melalui tingkap di tingkat empat sebuah feri yang ketika itu memulakan perjalanan ke Filipina, jam 6.45 petang.
Saksi kejadian yang juga pengurus feri kemudian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan kira-kira jam 8 malam bagi bantuan menyelamatkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 10.09 pagi tadi.
Katanya, seramai 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke tempat kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan pada 10.47 pagi, menggunakan bot dengan kaedah ‘surface rescue’ di kawasan mangsa dilaporkan terjun.
“Radius pencarian sejauh dua kilometer dan mangsa belum ditemui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR ditangguhkan pada 5 petang dan akan disambung semula pada esok pagi.
“Maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). – Info X