Search

Lembaga Bandaran Kudat perlu kekal cemerlang – Joachim

March 29, 2023

admin

KUDAT: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Joachim Gunsalam menyeru Lembaga Bandaran Kudat (LBK) supaya mengekalkan kecemerlangan dan taraf mereka sebagai antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbaik di Malaysia.

Katanya, kejayaan LBK yang telah memenangi beberapa anugerah cemerlang di peringkat Malaysia adalah sesuatu yang amat membanggakan bukan sahaja kepada penduduk daerah ini tetapi juga di Sabah.

Beliau berkata, antara pencapaian terbaik LBK ialah menerima Anugerah Sijil Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPBPBT) dengan meraih 5 bintang serta mendapat kedudukan nombor 33 di Malaysia dan nombor satu di Sabah, menyandang tempat ke-3 Kategori Daerah Seluruh Malaysia melalui SPBPBT, Pihak Berkuasa Tempatan terbaik bagi Kriteria Pengurusan melalui SPBPBT dan Berkuasa Tempatan terbaik bagi Kriteria Pengurusan Pelanggan melalui SPBPBT.

Selain itu, LBK juga pernah memegang gelaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik bagi Kriteria Penyertaan Komuniti dan Pandangan Penduduk melalui SPBPBT yang mana ia adalah antara lima terbaik di Malaysia menerima Anugerah Apresiasi Khas 2022, Bandar Keluarga Bahagia Kudat.

“Dengan Anugerah yang besar ini, kita sangat berbangga dengan pencapaian LBK kerana mampu bersaing dengan PBT yang lebih besar dan maju daripada kita.

“Ahli Lembaga perlu bekerja keras dalam mengekalkan pencapaian yang telah di kecapi,” kata Joachim ketika merasmikan Majlis Upacara Angkat Sumpah Ahli Lembaga Bandaran Kudat bagi sesi Januari 2023-Januari 2025 yang diadakan di Grand Ballroom, Marina Resort Kudat, di sini, semalam.

Terdahulu, Joachim berkata, Ahli Lembaga Bandaran Kudat yang dilantik juga perlu mempunyai mentaliti berasaskan perniagaan supaya mereka juga dapat membantu Lembaga Bandaran Kudat untuk menjana pendapatan yang lebih.

“Lantikan ini bukanlah satu keistimewaan malahan ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang penting untuk membantu penduduk di Kudat,” katanya, sambil menambah Kementerian berharap Ahli-ahli Lembaga akan terus komited dan amanah serta bekerjasama dalam menjalankan tugas dalam tempoh masa dua tahun ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Lembaga Bandaran Kudat, Rusdi Belun dalam ucapan alu-aluannya berkata, semua ahli perlu memainkan peranan yang besar dalam menjadikan daerah Kudat sentiasa kekal indah, bersih, lebih hijau, lebih selamat dan sentiasa membangun mengikut peredaran waktu.

Katanya, pelantikan ini bukanlah sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan ataupun ahli keluarga masing-masing.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Chong Chen Bin @ Ben Chong; ADUN Banggi, Mohammad Mohammarin; ADUN Matunggong, Datuk Julita Majungki, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Stanley Chong; Pegawai Eksekutif Lembaga Bandaran Kudat, Mumin Amsah, serta Ketua- ketua jabatan persekutuan dan negeri. – Info X