LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan menahan bot tunda dan tongkang (barge) di perairan wilayah ini, di sini, pagi tadi kerana Lesen Perkapalan Domestik (DSL) tamat tempoh.
Bot bersama tongkang berkenaan dikesan ketika Maritim Malaysia Zon Labuan melakukan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Khas Kuda Laut, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut, jam 9.20 pagi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot dan tongkang ditahan di kedudukan 4.0 batu nautika timur laut Pulau Labuan.

Katanya, ketika diperiksa, bot tunda dan tongkang itu dikendalikan oleh seorang kepten bot, 58 tahun diikuti dengan seorang Ketua Pegawai dan Ketua Jurutera berusia 33 dan 45 tahun masing-masing warga Myanmar dan Indonesia.
“Bot tunda itu difahamkan dalam pelayaran dari Brunei ke Tawau.
“Bot disyaki melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) iaitu DSL telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, nakhoda, kru, bot tunda beserta barge dan dokumen terbabit ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
“Pengusaha perkapalan, bot beserta pemilik dinasihatkan untuk memastikan dokumen dan lesen kapal atau bot sentiasa diperiksa dan mengikut peraturan yang ditetapkan sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang aktiviti atau salah laku jenayah di laut,” katanya. – Info X