TAWAU: Seorang pesara kerajaan kerugian RM300 selepas beg sandang miliknya dicuri dalam kejadian di hadapan sebuah kedai di Jalan Bunga Raya, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu dipercayai dilakukan dua lelaki yang bersubahat memperdayakan mangsa berdasarkan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.
Dalam rakaman berkenaan, seorang lelaki dilihat mengetuk pintu kereta mangsa dan mendakwa terdapat paku di tayar belakang kenderaan pesara terbabit.

Mangsa kemudiannya keluar untuk memeriksa keadaan keretanya namun tidak menemui sebarang masalah pada tayar kenderaannya.
Dalam masa sama, seorang lagi lelaki dipercayai rakan subahat suspek pertama mengambil kesempatan membuka pintu penumpang dan melarikan beg sandang milik mangsa.
Sebaik kembali masuk ke dalam kenderaannya, mangsa menyedari beg sandang yang diletak di kerusi penumpang telah hilang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin dalam kenyataannya hari ini berkata, mangsa berusia 57 tahun membuat laporan di Balai Polis Tawau pada jam 11.32 pagi.
Katanya, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM300 selain kehilangan beberapa dokumen iaitu pengenalan diri dan kad bank.
“Polis kini sedang mengesan suspek yang terlibat dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika keluar berbelanja terutamanya di musim perayaan.
Katanya, keadaan sesak ketika orang ramai berbelanja membuka peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah.
“Polis akan terus melakukan rondaan dan pemeriksaan di musim perayaan terutamanya di kawsan-kawasan tumpuan orang ramai,” katanya. – Info X