Search

Liga Super : Aksi pertama Sabah FC berakhir seri di Likas

May 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Aksi pertama Sabah FC dalam saingan Liga Super musim ini berakhir seri tanpa jaringan ketika menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Tuan rumah gagal memecah benteng pertahanan lawan sekali gus memaksa Sang Badak berpuas hati berkongsi satu mata dengan pasukan pelawat.

Penjaga gol Pulau Pinang, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menjadi penyelamat pasukan pelawat apabila menggagalkan semua cubaan berbahaya pasukan tuan rumah.

Ramon Machado yang sempat beraksi selama 70 minit sebelum diganti Mohd Jafri Chew melancarkan paling banyak serangan berbahaya ke arah gawang lawan.

Machado melakukan sekurang-kurangnya enam cubaan berbahaya, namun semuanya dapat dipatahkan pertahanan lawan, selain dapat dibaca dengan baik Sikh Izhan yang tidak hilang tumpuan di hadapan gawang.

Secara keseluruhan permainan agak seimbang pada babak pertama dengan kedua-dua pasukan dilihat berhasil mendapat beberapa sepakan sudut, selain tendangan percuma dan serangan balas, namun tiada yang dapat diterjemah kepada gol.

Pada minit ke-77, tuan rumah cuba mendapatkan sepakan penalti selepas berlaku dakwaan bola terkena tangan pemain Pulau Pinang ketika situasi kucar-kacir di hadapan gawang juga tidak berhasil apabila tidak diendahkan pengadil.

Semakan Video Pembantu Pengadil (VAR) juga tidak dapat dibuat memandangkan sistem itu tidak dapat digunakan di Stadium Likas malam ini disebabkan masalah teknikal.

Kebuntuan tanpa jaringan dihadapi kedua-dia pasukan juga berpanjangan hingga enam minit masa kecederaan yang diberikan pengadil.

Situasi sekali gus menyaksikan keputusan perlawanan pertama Liga Super musim ini di antara Sabah dan Pulau Pinang berakhir tanpa jaringan. – Info X