KOTA KINABALU: DPMM FC dari Brunei menggagalkan misi Sabah FC untuk menambah mata apabila ditewaskan dengan jaringan 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
DPMM awal-awal lagi mengejutkan tuan rumah apabila berjaya membuka jaringan pada minit ke-19 untuk mendahului perlawanan dengan 1-0 sebelum menambah dua jaringan pada separuh masa kedua, manakala Sang Badak hanya mampu mencipta satu gol.
Penyerang DPMM, Muhammad Ramadhan Sananta itu menghadiahkan jaringan pertama Brunei ketika barisan pertahanan Sabah berada di luar kawasan setelah melancarjan serangan balas.
Kecewa dengan jaringan pasukan lawan, pemain Sang Badak kembali mengatur serangan balas dan berjaya melakukan beberapa cubaan berbahaya selepas itu, namun gagal menepati sasaran.
Beralih ke separuh masa kedua, Sabah cuba bangkit menerusi serangan awal yang menyaksikan penyerangnya, R Dinesh melakukan tandukan di hadapan gawang DPMM, namun tersasar.
Pasukan pelawat bagaimanapun tidak membiarkan tuan rumah terus bangkit, sebaliknya kembali menekan Sang Badak yang berusaha mencari gol penyamaan setelah ketinggalan 1-0 pada babak pertama.
Asakan demi asakan dilakukan DPMM akhirnya membawa mereka ke jaringan yang kedua melalui Tommy Mawat Bada pada minit ke-74 sekali gus melebarkan kedudukan dengan 2-0.
Bagaimanapun, seminit selepas itu, penyerang Sang Badak, Ajdin Mujagic berjaya menjaringkan gol pertama untuk Sabah bagi mengubah sedikit kedudukan kepada 2-1.
Namun, usaha Sabah untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan sekali lagi dikecewakan apabila kapten DPMM, Muhammad Azwan Ali Rahman menjaringkan gol ketiga pasukan pelawat pada minit ke-85.
Dengan kedudukan 3-1 ketika masa sudah di penghujung, sukar bagi pemain Sabah untuk mencari dua lagi gol bagi menyamakan kedudukan setelah mustahil untuk melakar kemenangan dan akhirnya tiga mata dibawa pulang DPMM. – Info X