KOTA BELUD: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah van di Jalan Kota Belud – Tuaran, Kampung Pangkalan Abai, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dipercayai terjatuh ke laluan van sebelum digilis pada bahagian belakang kanan kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati van terbabit sedang bergerak dari arah Petronas Pangkalan Abai menuju ke Pekan Kota Belud ketika kemalangan berlaku.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Jenazah mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau berkata polis Cawangan Trafik IPD Kota Belud memohon mana-mana saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat termasuk rakaman kamera papan pemuka (dash-cam) tampil membantu siasatan dengan hadir ke Pejabat Trafik IPD Kota Belud.
Dalam pada itu, katanya orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X