Search

Lima cedera, dua tersepit dalam kemalangan di Kinabatangan

October 29, 2025

Info X Reporters

KINABATANGAN: Lima individu cedera termasuk dua yang tersepit selepas van penumpang jenis Toyota Hiace bertembung dengan sebuah lori di Jalan Segaliud, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.48 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dari BBP Kinabatangan dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu van penumpang dan lori. Seorang lelaki yang juga pemandu lori didapati tersepit di tempat duduk pemandu, manakala seorang lagi penumpang van turut tersepit di bahagian hadapan kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa yang cedera menerima rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas ‘Rescue Tools’ sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Tiga lagi mangsa lain yang turut berada dalam van mengalami kecederaan dan turut diserahkan kepada pasukan KKM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM serta tamat sepenuhnya pada jam 11.35 malam. – Info X