Search

Rumah, bengkel musnah terbakar di Sandakan

October 29, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Sebuah rumah dua tingkat yang turut menempatkan bengkel membaiki kenderaan musnah dalam kebakaran di Taman Fuliwah, Batu 3½, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 pagi.

Katanya, sepasukan 15 anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal yang turut dijadikan bengkel membaiki kenderaan di bahagian bawah. Keseluruhan struktur bangunan itu terbakar 100 peratus.

“Dua buah kereta jenis Proton Iswara dan Perodua Bezza yang berada berhampiran turut rosak akibat bahangan api,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan rumah dan bengkel di Taman Fuliwah, Batu 3½, Sandakan.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dan tiga pancutan dengan sumber air diperoleh daripada jentera bomba serta tangki air (water tanker).

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.02 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.09 pagi.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X