RANAU: Tujuh cedera termasuk lima pelancong luar negara selepas van dinaiki mereka bertembung dengan lori di Kilometer 3 Jalan Ranau – Kundasang, Kampung Kibbas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa cedera membabitkan pelancong tempatan, Korea dan China serta pemandu van berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan, Simium Lomudin berkata, hasil siasatan awal mendapati van pelancong itu dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Taman Air Panas Poring manakala lori dipandu dari arah Ranau menuju ke Kundasang.

Katanya, pemandu van berusia 40-an dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.
“Pemandu lori cuba mengelak ke kiri jalan namun van pelancong terus melanggar hadapan lori.
“Akibat kejadian itu, pemandu van tersepit dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya semua mangsa termasuk tujuh penumpang seterusnya dibawa ke Hospital Ranau dengan bantuan ambulans.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan pemandu van dipercayai mengalami ‘Microsleep atau terlelap dalam pemanduan sehingga menyebabkan kemalangan itu berlaku.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikuti Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Simiun berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi negatif dan sentiasa berhati-hati ketika memandu. Info X