KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini perlu melipatgandakan usaha meningkatkan daya saing dan inovasi dalam pelbagai sektor untuk menghadapi pelbagai cabaran mendatang.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, dalam konteks ini, beliau yakin dengan penghayatan terhadap al-Quran, umat Islam akan menjadi umat yang dinamik, progresif dan cemerlang.
Katanya, sesungguhnya kitab suci al-Quran mengandungi begitu banyak pengajaran dan panduan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menjadi sebuah bangsa dan umat yang berjaya dalam semua aspek kehidupan.

“Islam amat menggalakkan umatnya mengamalkan semangat berlumba-lumba dan bersaing dalam semua bidang untuk mencapai kemajuan dan kejayaan.
“Ia adalah resepi membangunkan masyarakat yang bersemangat untuk maju, bukan sahaja dari segi teknikal tetapi turut digabungkan dengan nilai-nilai keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Penyampaian Hadiah dan Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS, di sini, malam tadi.

Perutusan Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan AlQuran Peringkat Negeri Sabah itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Turut hadir, Isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Norlidah R M Jasni dan isteri Ketua Menteri Sabah Datin Seri Juliah Salag.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri komited untuk membawa Sabah ke tahap yang lebih baik dan maju sejajar dengan konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh kerajaan perpaduan.
Komitmen itu katanya diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi penekanan kepada aspek pemerkasaan pendidikan, latihan, pengupayaan sektor ekonomi, pengukuhan hubungan, persefahaman antara masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini.
“Kita sesungguhnya amat bersyukur kerana Sabah diberikan sumber rezeki yang melimpah ruah.
“Selain rezeki berupa tanaman dan ternakan, tanah bertuah ini juga dilimpahi dengan nikmat alam sekitar yang cantik selain sumber alam lainnya seperti minyak dan gas,” katanya.
Justeru, katanya seluruh rakyat jelata di negeri ini tanpa mengira bangsa dan anutan agama harus menyokong usaha yang boleh mengukuhkan perpaduan.
Sementara itu, Hamdi Yusop@Yusof 27, yang mewakili pantai barat Selatan, muncul johan Qari Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sabah manakala Nabilah Syafawati Sapari, 27, yang mewakili pedalaman atas johan Qariah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sabah.
Hamdi dan Nabilah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala iringan, sijil penghargaan, pakej menunaikan umrah sumbangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, seutas jam tangan sumbangan pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, sepersalinan pakaian Sumbangan JAKIM dan cenderahati sumbangan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS). – Info X