TAMPARULI: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas lori membawa muatan minyak masak terbabas sendiri di kawasan Murug-Turug Eco Tourism (MTET), Jalan Ranau – Tamparuli, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, lori jenis carrie 10 tan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Nasarudin Snuddin, 30, manakala mangsa cedera pula lelaki berusia 18 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Mohamad Nor Amit berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi sejauh 24 kilometer.
“Setiba di tempat kejadian, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan minyak masak yang terbabas sendiri. Dua lelaki dilaporkan terlibat dalam insiden itu.
“Seorang mangsa cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba, manakala seorang lagi mangsa yang tercampak keluar dari kenderaan dibawa naik menggunakan pengusung (stretcher),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa lelaki berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut, manakala mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Norkizan Durudin @ Nurudin tamat sepenuhnya pada jam 2.10 petang. – Info X