KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal dengan pendirian terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, bulan depan.
Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai, berkata PBS tidak terpengaruh dengan tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang meninggalkan gabungan berkenaan pada awal bulan ini.
Beliau memberi jaminan PBS mampu memikul tanggungjawab membantu GRS kekal kukuh dan dominan selepas STAR dan SAPP mengambil tindakan keluar dari gabungan itu.
“PBS pernah berdepan cabaran politik yang lebih sukar lagi sebelum ini. Ini adalah demokrasi, namun pada masa yang sama kestabilan dan perpaduan tidak boleh dipandang mudah.
“Di situlah PBS meneruskan peranannya dalam memastikan GRS kekal kukuh dan dominan di Sabah,” katanya pada program bersama rakyat di Kampung Rungus Panansawa, Kiulu, pada Khamis.
Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS, berkata pengaruh PBS dalam gabungan itu berakar umbi dari konsistensi, kepemimpinan dan pengalaman parti itu mengemudi perubahan politik yang dinamik.
“Kita sudah melalui banyak fasa perubahan tetapi prinsip kita kekal sama, iaitu untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“PBS sentiasa hadir bersama dalam GRS memastikan bahawa gabungan ini boleh memenuhi kehendak rakyat Sabah,” katanya.
Penyandang kerusi DUN Kiulu itu berkata PBS kekal memainkan peranan dalam memastikan GRS kekal kukuh dan boleh dipercayai berpandukan dasar yang realistik dan berpusatkan rakyat.
PBS adalah antara enam parti yang kekal bersama GRS dengan lima lagi ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Liberal Democratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS). – Info X