KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengaktifkan muka sauk di Kampung Madsiang, Penampang sebagai saluran alternatif menyedut air mentah untuk diproses di Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui.
Timbalan Ketua Menteri, Ir Shahelmey Yahya, berkata langkah itu bagi memulihkan bekalan air yang mendapat bekalan dari LRA Kasigui yang ketika ini tidak dapat beroperasi berikutan muka sauknya ditenggelami banjir.
Katanya, akibat banjir yang melanda bermula 30 Jun lalu, semua loji rawatan air di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya berfungsi seperti biasa kecuali LRA Kasigui.
Beliau berkata, ketika ini kerja penyelenggaraan akibat banjir sedang dilaksanakan di LRA Kasigui, namun paras air sungai yang masih tinggi ketika ini menjejaskan pelaksanaannya.

“Bagi mengelakkan gangguan air berlaku di kawasan terjejas, JANS bersama Jetama Sdn Bhd mengambil inisiatif untuk mengaktifkan muka sauk Madsiang dan mengepam air mentah dari sana untuk dirawat di LRA Kasigui sebelum diagihkan kepada pengguna.
“Pihak JANS akan sentiasa memantau LRA yang ada terutama pada musim banjir ini bagi memastikan air yang dikeluarkan adalah bersih dan selamat untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan peka terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu.
Penutupan LRA Kasigui menyebabkan sebahagian pengguna di Penampang, Kota Kinabalu dan Putatan berdepan gangguan bekalan air sejak semalam.
Sebelum ini, JANS melalui laman Facebooknya menjelaskan situasi dihadapi di LRA Kasigui yang berdepan kadar kekeruhan air yang tinggi selain muka sauk dibanjiri air menyebabkan proses rawatan air terjejas.
Bagaimanapun, menerusi perkongsian terbaharu JANS petang ini, jabatan itu memaklumkan LRA Kasigui sudah mula beroperasi dengan kapasiti 23 juta liter sehari (JLH).
“Paras air di Intake LRA Kasigui telah beransur pulih dan kerja-kerja pembersihan LRA Kasigui juga telah siap dilaksanakan.
“Kini LRA Kasigui sudah mula beroperasi dengan pengeluaran Air Terawat sebanyak 23 JLH dan bekalan air terawat di kawasan yang terjejas akan pulih secara berperingkat,” katanya. – Info X