X-Clusive
KOTA KINABALU: “Maaf Tuanku, saya teruja sebenarnya sehingga lupa protokol,” demikian kata individu yang videonya tular dengan selamba berkata ‘salam Gung, boleh Gung’ ketika hendak bersalaman dengan Yang di-Pertuan (YDP) Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Tawau, baru-baru ini.
Baharun Abidu, 41, berkata, perkataan yang diungkapnya itu berlaku secara spontan kerana sangat teruja dapat bertemu dan bersalaman dengan YDP Agong.
Menceritakan kejadian itu, Baharun berkata, ianya berlaku di Jalan Apas Wakuba, Tawau.
“Saya teruja sebenarnya, dan menganggap ‘moment ketika itu penuh makna dan bernilai pada saya, sehinggah saya lupa protokol berhadapan dengan YDPA.
“Alhamdulillah Tuanku tidak marah, rasa bersyukur kepada Allah kerana bagi saya peluang untuk berjumpa dengan YDPA.
“Alhamdulillah, terima kasih sambut salam saya Tuanku,” katanya kepada Info X.
Baharun turut meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Tawau.
“Maaf Tuanku terpanggil “Gung, salam Gung”, maaf juga semua, kejadian ini tidak disengajakan,” katanya lagi.
Terdahulu, ketika menghadiri Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri sempena Program Kembara Kenali Borneo (Sabah) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam tadi, Tuanku bertitah yang baginda mendapat pelbagai gelaran dari rakyat Sabah.
Bagaimanapun, titah baginda, semua pengalaman ‘melucukan’ yang dirasai sepanjang berada di Sabah merupakan satu realiti yang menakjubkan.
“Ada anak muda panggil saya pakcik Agong, ada panggil abang Agong, ada juga panggil ‘Gung, Gung, Gung’.
“Ini semua adalah realiti kepada saya yang cukup menakjubkan, keharmonian yang wujud di sebalik kepelbagaian ini merupakan simbol kepada perpaduan,” titah baginda. – Info X