Search

Mayat lelaki OKU ditemui terapung dalam longkang

September 7, 2023

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Mayat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui dalam keadaan terapung di longkang berhampiran pondok perhentian bas Pekan Goshen di Jalan Langkon Pitas, di sini, petang ini.

Mangsa berusia 37 tahun ditemui orang awam kira-kira jam 2 petang yang melalui kawasan itu sebelum menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Lotong Kota Marudu untuk tujuan bedah siasat.

“Hasil siasatan mendapati mangsa warga tempatan dan OKU pembelajaran serta mempunyai sejarah penyakit sawan.

“Pada hari kejadian, mangsa didapati keluar dari rumah seawal jam 8 pagi tadi dan berjalan kaki ke pekan sebelum ditemui orang awam di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, siasatan juga mendapati, mangsa akan keluar berjalan kaki hampir setiap hari ke Pekan Kota Marudu dari Kampung Kandawayon dan mangsa juga didakwa sering diserang sawan.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui di dalam longkang berhampiran pondok perhentian bas Pekan Goshen di Jalan Langkon Pitas, Kota Marudu.

“Hasil daripada pemeriksaan pegawai perubatan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan di badan mangsa.

“Mangsa juga dipercayai diserang sawan sebelum terjatuh ke dalam parit dan hasil pemeriksaan terhadap badan mangsa ketika ditemukan di dalam longkang itu juga masih dalam keadaan kejang dan tergigit lidah,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati (SDR). – Info X