KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau meminta penjelasan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung status projek pembangunan di Sabah yang diluluskan dalam Belanjawan 2024.
Beliau meminta agar senarai projek yang sudah siap, gagal dan sedang disiapkan daripada peruntukan RM6.6 bilion kepada Sabah pada tahun lalu didedahkan, ketika sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.
“Daripada RM6.6 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah yang telah diluluskan, senaraikan projek-projek yang sudah siap, gagal dan sedang disiapkan.
“Berikan juga senarai kementerian yang terlibat dalam projek sudah siap, gagal dan sedang dilaksanakan itu,” katanya dalam soalannya ketika sidang Parlimen.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulis memaklumkan, sebanyak 783 program atau projek disenaraikan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 Belas (RMKe-12) Tahun 2024 di Sabah.
Katanya, sehingga 27 Januari 2025, berdasarkan maklumat yang dijana daripada Sistem MyProjek, sebanyak 318 projek sudah siap (pasca pelaksanaan), manakala baki 465 yang lain masih berstatus sedang disiapkan (dalam pelaksanaan).
Ahli Parlimen Sekijang itu turut menyenaraikan jumlah dan status projek yang diluluskan mengikut statistik melibatkan 22 kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Projek yang diluluskan di bawah Kementerian Pendidikan disenaraikan yang tertinggi iaitu sebanyak 240 projek, namun hanya 94 projek yang berstatus pasca pelaksanaan, manakala 146 masih dalam pelaksanaan.
Jumlah kedua tertinggi adalah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan 199 projek, dengan 89 daripadanya berstatus pasca pelaksanaan manakala 110 lagi masih dalam pelaksanaan.
Tiga kementerian yang sering menjadi tumpuan di Sabah iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA); Kementerian Kerja Raya (KKR); dan Kementerian Ekonomi turut tersenarai dalam statistik itu.
PETRA dengan 65 projek diluluskan menyaksikan terdapat 16 berstatus pasca pelaksanaan dan 49 dalam pelaksanaan.
KKR pula dengan sebanyak 27 projek, pasca pelaksanaan (4), dalam pelaksanaan (23); dan Kementerian Ekonomi dengan 14 projek, pasca pelaksanaan (5), dalam pelaksanaan (9).
Statistik itu turut menunjukkan sebanyak tiga kementerian mencatatkan jumlah projek yang diluluskan semuanya pada status sudah siap.
Kementerian terbabit ialah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan empat projek; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (dua projek); dan Kementerian Perpaduan Negara (satu projek).
Bagi JPM, terdapat 19 projek diluluskan dengan tujuh daripadanya sudah siap dan 12 sedang disiapkan.
Projek-projek lain adalah di bawah Kementerian Belia dan Sukan (10 projek); Kementerian Dalam Negeri (26); Kementerian Kesihatan (33); Kementerian Komunikasi (2); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (1); Kementerian Pendidikan Tinggi (16); dan Kementerian Pengangkutan (3).
Turut tersenarai dalam statistik projek yang diluluskan dalam Belanjawan 2024 di Sabah ialah Kementerian Perladangan dan Komoditi (7 projek); Kementerian Pertahanan (16); Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (37); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (30); Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (25); dan Kementerian Sumber Manusia (6). – Info X