Search

Pekerja binaan jumpa bom aktif tinggalan Perang Dunia Kedua di Kinarut

February 26, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Sebutir bom lama dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui sekumpulan pekerja binaan ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan berdekatan Kilang Lok Kawi Plastic Industries, Kinarut, semalam.

Bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) yang disyaki masih aktif itu ditemui pekerja terbabit kira-kira 1.30 tengah hari sebelum segera membuat laporan di Balai Polis Kinarut.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, bom berkenaan ditemui ketika pekerja binaan melakukan kerja mengorek tanah menggunakan jengkaut.

“Ketika itu, pekerja ternampak satu objek besar yang masih belum dipastikan. Pekerja itu kemudian mengorek secara perlahan sehingga berjaya mengeluarkan objek tadi dari dalam tanah.

“Dia kemudiannya mendapati objek itu adalah bom lama lama yang tertimbus lalu datang ke Balai Polis Kinarut untuk membuat laporan mengenai penemuan bahan letupan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Susulan itu Kamaruddin berkata, sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi bersama dengan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Pemeriksaan lanjut oleh UPB mendapati bom yang ditemui itu masih aktif dan dipercayai adalah bom peninggalan sejak zaman perang dunia kedua.

“Beberapa jalan raya akan ditutup bagi mengelak pengguna jalan raya melalui kawasan itu untuk tujuan membuat persediaan meletupkan bom berkenaan di kawasan tempat kejadian pada 8 jam pagi ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak Jabatan Kereta Api Negeri Sabah juga telah dimaklumkan supaya menghentikan operasi sementara pada waktu letupan dijalankan dan hebahan kepada penduduk setempat juga dilaksanakan.

“Beberapa agensi seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Penerbangan, Sabah Electricity dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut sama memberikan kerjasama dan nasihat sebelum letupan dilaksanakan.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan tempat bom itu ditemui bagi mengelak sebarang kemungkinan.

“Orang awam juga diminta untuk menyampaikan sebarang maklumat kepada polis dengan kadar segera di talian 088-912222 dan balai polis berhampiran sekiranya ternampak atau terjumpa apa-apa objek mencurigakan kerana ia boleh mendatangkan risiko bahaya atau kemudaratan kepada masyarakat setempat,” katanya. – Info X