Search

Mahkamah tolak permohonan ex-parte Albert Tei untuk kebenaran perintah komital terhadap Hajiji

November 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Selasa menolak permohonan ex-parte Albert Tei untuk mendapatkan kebenaran memfailkan permohonan perintah komital (permohonan) terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zaini Fishir @ Fisal membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam mewakili Tei Jiann Chieng (Albert Tei), Edward Paul dan Peguam Besar Negeri Sabah (PBNS), Datuk Brenndon Keith Soh bersama Roland Alik, yang mewakili Ketua Menteri Sabah (Caretaker).

Permohonan itu difailkan Albert Tei di bawah Aturan 52, Kaedah 3, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 [A52 KKM 2012] untuk membuat tuntutan terhadap Ketua Menteri Sabah (Caretaker) atas kesalahan menghina mahkamah.

Ia berkaitan dakwaan bahawa kuasa imigresen negeri telah digunakan untuk menghalang kemasukan Albert Tei ke Sabah, seterusnya menghalang kehadirannya dalam perbicaraan kes asuah yang sedang dihadapi ahli perniagaan itu.

Brenndon berkata pada 17 November 2025, Mahkamah Sesyen memberi kebenaran kepada PBNS untuk hadir dan membantu mahkamah dalam prosiding permohonan Albert Tei itu.

Pada masa yang sama, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rustam Sanip turut dijemput untuk mengemukakan hujahan berhubung permohonan itu sebagai sokongan terhadap hujahan PBNS.

Dalam membantah permohonan itu berdasarkan bantahan awal (preliminary objection), pihak kami telah mengemukakan hujahan bahawa A52 KKM 2012 hanya terpakai kepada prosiding sivil dan bukan prosiding jenayah sebagaimana diperuntukkan di bawah Aturan 1 Kaedah 2(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Oleh itu, permohonan tersebut adalah tidak berasas kerana permohonan Albert Tei dengan merujuk kepada A52 KKM 2012 adalah salah dan tidak selaras dengan undang-undang.

“Selanjutnya, berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), adalah menjadi kuasa Peguam Negara Persekutuan yang diwakili oleh TPR untuk mempunyai ‘kawalan dan arahan terhadap semua pendakwaan dan prosiding jenayah.

“Oleh itu, Albert Tei sebagai seorang tertuduh dalam prosiding jenayah di mahkamah lain bukanlah pihak yang layak untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah di mahkamah yang berasingan, kerana peranan tersebut terletak pada TPR dalam prosiding jenayah tersebut.

“Selain itu, turut dihujahkan bahawa permohonan tersebut difailkan dengan niat jahat dan merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah, yang sama sekali tidak mempunyai asas fakta atau undang-undang,” katanya.

Setelah meneliti semua hujahan, Hakim Mahkamah Sesyen telah memutuskan untuk memihak kepada Ketua Menteri Sabah (Caretaker) berdasarkan bantahan awal dan menolak Permohonan Albert Tei.

Brenndon berkata, keputusan itu menegaskan prinsip undang-undang bahawa bidang kuasa penghinaan Mahkamah tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya atau bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan pentadbiran keadilan yang sewajarnya. – Info X