KENINGAU: Bingkor yang pernah digelar antara kawasan paling perlahan menikmati arus pembangunan kini diangkat sebagai zon pertumbuhan baharu dengan tumpuan kepada ekonomi komuniti, pertanian moden serta pelancongan desa sebagai pemacu utama.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor, Rafie Robert berkata, keutamaan kini ialah mengubah wajah Bingkor melalui pembangunan jangka panjang yang benar-benar memberi kesan langsung kepada penduduk.
Katanya, pengundi di Bingkor sudah matang dan mahukan kesinambungan pembangunan selepas melihat banyak perubahan yang berlaku sepanjang penggal lalu.
“Rakyat Bingkor mahukan kesinambungan. Mereka mahu pembangunan yang sudah bermula diteruskan dan diperkasakan,” katanya ketika ditemui selepas sesi rakaman program bual bicara PRU Sabah, di sini, hari ini.
Mengulas persaingan 10 penjuru, Rafie berkata ia bukan penghalang kerana pengundi di kawasan itu sudah menunjukkan kecenderungan jelas menyokong parti gabungan tempatan yang paling banyak membawa pembangunan sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
“Pertembungan ramai calon bukan masalah. Bingkor ini mahukan kebersamaan dan GRS terbukti membawa banyak kesan positif sebelum ini,” katanya.
Rafie, calon termuda yang pernah diketengahkan di kawasan itu, berkata pemilihan beliau oleh pucuk pimpinan bukan sekadar strategi, tetapi selari dengan realiti demografi Bingkor yang mempunyai lebih 50 peratus pengundi berusia bawah 40 tahun.

“Saya bukan datang untuk ganti sesiapa. Saya datang sebagai calon anak muda untuk bawa idea segar yang selari dengan keperluan generasi baharu,” katanya.
Beliau juga optimis sokongan majoriti lebih 5,000 undi yang dimenangi penyandang sebelumnya, Datuk Robert Tawik, bukan sekadar ‘comfort zone’ tetapi petanda jelas keyakinan masyarakat terhadap kerajaan GRS.
“Saya yakin sokongan itu akan beralih kepada kita kerana pengundi muda pun semakin cenderung kepada GRS,” katanya.
Mengulas keutamaan pembangunan, Rafie berkata Bingkor masih ketinggalan 10 hingga 15 tahun dan kerja besar diperlukan untuk mengejar semula arus kemajuan daerah.
“Isu teras tetap pembangunan. Kita tak boleh berhenti separuh jalan. Apa yang sudah dirancang, perlu diteruskan,” tegasnya.
Antara pelan utama, katanya, ialah memperkasa industri pertanian sedia ada dengan bantuan lebih teratur, selain memperkenalkan sektor baharu berasaskan pelancongan desa yang turut melibatkan komuniti kampung.
“Kita mahu buka kawasan yang terbiar untuk dijadikan taman ekopelancongan. Penduduk kampung akan terlibat sepenuhnya, daripada kraftangan, makanan tradisi sampai khidmat pemandu pelancong,” katanya.
Rafie berkata pendekatan itu bukan sahaja menambah pendapatan isi rumah, tetapi turut menarik belia untuk kembali aktif dalam ekonomi setempat.
“Kalau kita bantu ekonomi rakyat, sokongan akan datang dengan sendiri,” katanya.
Beliau yakin Bingkor mampu menjadi model pembangunan komuniti luar bandar jika pelan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan sokongan padu rakyat di kawasan berkenaan. – Info X