Search

Majlis makan malam tahunan peminat Manchester United kembali ke Kota Kinabalu

March 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Makan Malam Tahunan anjuran United Malaysia, kelab penyokong rasmi Manchester United di negara ini, akan kembali dianjurkan di sini pada 27 Jun depan selepas dua tahun diadakan di luar Sabah.

Majlis yang bertemakan “United Unite!!! The Next Chapter” itu dijadual berlangsung di Hakka Hall Kota Kinabalu, sekali gus menandakan penganjuran kali kelapan acara berkenaan.

Acara itu dijangka menghimpunkan ribuan penyokong kelab berkenaan dari seluruh negara, sekali gus menjadi antara perhimpunan terbesar peminat Manchester United di Malaysia.

Presiden United Malaysia, Batholomew Jingulam, berkata majlis makan malam di Kota Kinabalu sentiasa dinantikan oleh ahli dan penyokong kelab itu.

Katanya, penganjuran sebelum ini di Kota Kinabalu pernah mencatatkan kehadiran lebih 1,000 orang.

“Seperti biasa, majlis makan malam di KK amat dinanti-nantikan oleh ahli dan penyokong Red Devils di Malaysia.

“Dalam majlis makan malam sebelum ini di KK, kami menerima kehadiran lebih daripada 1,000 orang dan kami menjangkakan jumlah yang tidak kurang daripada itu pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi penganjur, Bryan Faurillo, berkata Kota Kinabalu mempunyai nilai sentimental kepada komuniti penyokong Manchester United di Malaysia.

Beliau berkata, majlis makan malam pertama United Malaysia pernah dianjurkan di bandar raya ini pada 2016.

“KK akan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati peminat Manchester United di Malaysia kerana di sinilah majlis makan malam pertama United Malaysia diadakan.

“Saya menggesa para peminat untuk terus mengikuti pengumuman mengenai tiket kerana jualan tiket makan malam ini akan dibuka tidak lama lagi dan kami menjangkakan ia akan habis dijual dengan sangat cepat,” katanya.

Menurutnya, antara tarikan utama pada majlis makan malam itu ialah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah pakej perjalanan yang ditanggung sepenuhnya untuk menyaksikan perlawanan secara langsung di Old Trafford, gelanggang keramat Manchester United.

Edisi kali ini juga akan menampilkan pelbagai aktiviti bertemakan Manchester United, penjualan barangan eksklusif serta peluang kepada penyokong untuk berkumpul dan meraikan minat bersama terhadap kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu.

Maklumat lanjut termasuk butiran penjualan tiket dan program pada malam berkenaan akan diumumkan melalui akaun media sosial United Malaysia dalam masa terdekat. – Info X