Search

Polis siasat insiden penguatkuasa dipukul penjual rokok

March 7, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) cedera selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki ketika membuat rondaan di Pasar Batu 8, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa bersama rakan sekerjanya dikatakan menjalankan rondaan bagi memantau aktiviti perniagaan dan menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan pasar itu.

Teguran itu bagaimanapun mencetuskan perselisihan faham sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan beberapa individu, sebelum mangsa mendakwa diserang oleh beberapa lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 50 tahun mengalami lebam di beberapa bahagian badan dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan.

“Kita siasat insiden sejurus menerima laporan daripada mangsa dan sudah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Setakat ini, satu tangkapan sudah dibuat dan polis masih menumpukan usaha untuk mengesan beberapa lagi suspek,” katanya.

Sebelum ini, satu rakaman video berdurasi kira-kira satu minit tular di laman sosial yang memaparkan mangsa dipukul beramai-ramai sehingga ke kawasan tempat letak kenderaan pasar.

George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas, serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan dalam kenyataannya memberi amaran tegas kepada penjual rokok haram untuk menghentikan kegiatan itu.

Beliau berkata, walaupun kesalahan rokok seludup berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kementeriannya akan meningkatkan usaha membanteras aktiviti berkenaan di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita tidak akan memberi ruang kepada penjual rokok haram di semua kawasan PBT.

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menjual rokok haram, terutama yang bertindak seperti samseng dan mengganggu pegawai yang menjalankan tugas,” katanya.

Fairuz berkata, kerajaan komited memastikan kawasan awam kekal selamat, aman dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa yang mengganggu ketenteraman atau menyerang pegawai yang menjalankan tugas. – Info X