Search
Search
Close this search box.

Majlis rumah terbuka eratkan silaturahim, keharmonian kaum – Hajiji

April 28, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Majlis rumah terbuka dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini termasuk di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia kerana majlis sempena sambutan perayaan seperti Aidilfitri itu dihadiri masyarakat berbilang kaum dan agama untuk sama-sama memeriahkan majlis.

Katanya, kemeriahan suasana sambutan Hari Raya juga turut dirasai golongan kurang bernasib baik dengan adanya bantuan dan sumbangan kepada mereka termasuk OKU dan asnaf.

“Mereka mesti disantuni dan diberi bantuan agar dapat bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Raya,” katanya ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Kira-kira 10,000 tetamu memeriahkan Majlis Rumah Terbuka itu yang dianjurkan gabungan tujuh bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekitar Tawau dan Kalabakan.

Hajiji menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Tawau.

Rumah terbuka yang dihadiri masyarakat berbilang kaum dan agama itu dianjurkan bersama oleh Gagasan Rakyat bahagian Balung, Apas, Sri Tanjung, Kukusan, Tanjung Batu, Merotai dan Sebatik.

Sempena majlis itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut menyampaikan sumbangan kepada 80 orang asnaf.

Sebelum berangkat pulang ke Kota Kinabalu, Hajiji turut meluangkan masa menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Datuk Tahir Picho di Seri Indah Regency Tawau. – Info X