Search
Search
Close this search box.

Piala SMJ: Kim Swee mahu lihat kekuatan, kelemahan Sabah FC sebelum aksi Liga Super

April 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menjadikan kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bermula esok sebagai medan untuk mengukur tahap persediaan pemain bagi menghadapi saingan Liga Super bulan depan.

Beliau berkata, walaupun sasaran untuk mencapai gelaran juara sama penting, beliau mahu melihat kekuatan dan kelemahan anak buahnya dalam semua perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas itu nanti.

Jelasnya, ia adalah objektif utama perlawanan itu yang disertai dua lagi pasukan dalam Liga Super musim ini iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kuching City FC, selain pasukan dalam Liga Singapura, Hougang United FC.

“Kebiasaannya apabila kita bermain, sudah tentu kita inginkan kemenangan, namun objektif utama kita ialah untuk mendapatkan kecergasan perlawanan dan untuk mengenal pasti kekuatan serta kelemahan kita sebelum musim bermula.

“Itu yang lebih penting, tapi kita tetap akan cuba hingga ke peringkat akhir perlawanan dan menjadi juara. Namun, apa yang lebih penting ialah untuk saya mengenal pasti kombinasi Sabah FC,” katanya pada sidang media pra perlawanan Piala SMJ di Stadium Likas, di sini, hari ini.

Sidang media itu turut disertai Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak dan Ketua Jurulatih Hougang United, Marko Kraljevic.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Kedua-dua Ketua Jurulatih Kuching City dan Hougang United turut menjadikan perlawanan itu untuk menguji pemain masing-masing menjelang permulaan liga musim ini, di samping untuk memenangi perlawanan.

Selain itu, Kraljevic turut menyifatkan kunjungan kedua pasukannya ke Sabah selepas aksi Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 sebelum ini sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Katanya, pasukan dari Singapura sentiasa berminat untuk bermain dengan pasukan di Malaysia dan Hougang diberi pilihan sama ada ke Kuala Lumpur atau Sabah untuk perlawanan persahabatan sebelum liga.

“Kita memilih Sabah sebab tahun lalu (Piala AFC) kami bermain di sini dan melihat permainan Sabah yang cukup baik, jadi ada banyak perkara yang kita boleh belajar di sini,” katanya.

Sementara itu, Kim Swee berkata pemain tempatan turut diketengahkan dalam perlawanan itu nanti bagi memberi pendedahan, selain peluang kepada mereka untuk menambah minit permainan.

Piala SMJ kali ini yang berlangsung di Stadium Likas, menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM33,000, masing-masing RM15,000 untuk juara, diikuti naib juara (RM10,000), ketiga (RM5,000) dan keempat (RM3,000).

Perlawanan pertama dijadual jam 4 petang esok menerusi pertemuan KL City dengan Kuching City, disusuli pertemuan Sabah menentang Hougang United pada jam 8 malam.

Seterusnya Kuching City akan bertemu Hougang United pada jam 4 petang, Rabu ini (1 Mei), disusuli perlawanan di antara Sabah dan KL City pada jam 8 malam hari yang sama.

Ia kemudian disusuli perlawanan ketiga pada 3 Mei bermula dengan pertemuan Hougang United dan KL City pada jam 4 petang, manakala Sabah menetang Kuching City pada jam 8 malam.

Hari penentuan pula dijadualkan pada 5 Mei, bermula dengan penentuan tempat ketiga dan keempat pada jam 4 petang, manakala perlawanan akhir pada jam 8 malam. – Info X