KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) meluluskan beberapa projek kritikal untuk penjanaan tenaga elektrik di Sabah dengan kapasiti keseluruhan berjumlah 700 megawatt (MW).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mempengerusikan mesyuarat MTS semalam, berkata kelulusan itu sejajar usaha memulihkan sistem grid tenaga Sabah yang kini masih berdepan kekurangan bekalan.
Katanya, antara projek utama itu ialah pembinaan janakuasa hidro elektrik dan loji janakuasa gas asli bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik di negeri ini pada masa sekarang dan akan datang.
Beliau berkata, mesyuarat kedua MTS itu juga mendengar maklum balas Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mengenai perkembangan projek penjanaan lain susulan keputusan yang dibuat pada mesyuarat pertama MTS, Jun lalu.
“Ini termasuk keputusan pelaksanaan projek sumber tenaga masa hadapan iaitu potensi dan kaedah pembangunan hidro elektrik secara meluas di Sabah menerusi kajian Sabah Hydro Development Masterplan yang sedang dilaksanakan ECoS.
“Satu lagi ialah berkaitan kaedah pembangunan loji Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) melalui konsep Projek Perintis Permulaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Kedua MTS di Menara Kinabalu, di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.
Hajiji berharap segala usaha yang dilaksanakan itu mendatangkan manfaat terbaik dalam merealisasikan pencapaian tenaga yang berdaya harap, mampu milik dan mampan untuk masa kini dan akan datang.
Katanya, usaha itu selari dengan Pelan Induk Tenaga – Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) untuk kemajuan Sabah dan memberi manafaat kepada rakyat negeri ini.
MTS ditubuhkan berikutan penyerahan kuasa kawal selia tenaga daripada kerajaan persekutuan kepada Sabah dan untuk menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah sejak awal tahun ini.
Ketika ini, janaan tenaga di Sabah hanya kira-kira 1,200 MW dengan margin tenaga kurang 12 peratus berikutan keperluan beban asas mencecah kira-kira 1,080 MW. – Info X